Thursday, November 25, 2010

10 Soalan Yang Anda Perlu Tanya Kepada Jurugambar Atau Juruvideo Anda

Soalan 1
Berapa lamakah pengalaman anda dalam bidang fotografi perkahwinan?
Pengalaman adalah faktor penting bagi mengukur tahap kemahiran
seseorang jurugambar. Jurugambar yang kurang berpengalaman biasanya
mengenakan harga yang lebih rendah.

Soalan 2
Adakah anda merakam gambar perkahwinan secara sambilan atau sepenuh masa?
Soalan ini adalah bagi menganggar tahap komitmen seseorang jurugambar. Biasanya, jurugambar yang melakukan tugas merakam
gambar perkahwinan secara sepenuh masa akan memberikan komitmen
yang tinggi memandangkan ini adalah satu-satunya punca pendapatan
mereka. Namun, keadaan sebaliknya mungkin juga berlaku.

Soalan 3
Adakah anda menggunakan peralatan digital atau analog?
Teknologi terkini memperlihatkan penggunaan peralatan fotografi dan
video digital. Tetapi, penggunaan sistem analog juga mempunyai
keistimewaannya yang tersendiri. Terpulang kepada citarasa anda.

Soalan 4
Bolehkah saya lihat contoh hasil kerja anda?
Ini adalah antara soalan yang paling penting untuk memilih
jurugambar atau juruvideo. Dengan melihat contoh gambar beliau,
anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa yang akan anda
perolehi. Cuma, pastikan gambar yang ditunjukkan adalah hasil kerja
beliau yang tulen.

Soalan 5
Apakah gaya fotografi atau videografi anda?
Setiap karya jurugambar atau juruvideo mempunyai gaya mereka yang
tersendiri. Begitu juga dengan pasangan pengantin yang mempunyai
citarasa yang berbeza terhadap gambar. Pilih jurugambar yang boleh
merakam gambar mengikut citarasa anda.

Soalan 6
Berapakah harga yang anda kenakan untuk perkhidmatan anda?
Harga yang dikenakan perlulah sesuai dengan bajet anda. Nilai
samada harga yang dikenakan berbaloi dengan perkhidmatan yang akan
anda perolehi. Sekiranya perlu, runding harga dengan jurugambar anda.

Soalan 7
Adakah apa-apa syarat lain atau bayaran tambahan yang akan dikenakan?
Tanya soalan ini untuk mengelakkan salah faham dan ketidakpuasan
hati di kemudian hari. Ini kerana setiap orang jurugambar mempunyai
syarat kerja dan syarat harga yang tersendiri.

Soalan 8
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan gambar?
Nyatakan kepada jurugambar sekiranya anda amat memerlukan gambar
anda disiapkan segera. Ini bagi membolehkan jurugambar anda
merancang masa beliau sendiri. Sekiranya tidak perlu, beri masa
yang mencukupi kepada jurugambar anda untuk menyiapkan gambar anda
tanpa perlu tergesa-gesa.

Soalan 9
Dalam bentuk apakah gambar siap akan diberi?
Gambar foto biasanya dicetak ke saiz 4R dan gambar video akan
diberi dalam format VCD atau DVD. Maklumkan kepada jurugambar atau
juruvideo anda sekiranya anda memerlukan bentuk lain.

Soalan 10
Adakah negatif atau imej asal akan diberi?
Imej asal foto biasanya adalah dalam bentuk negatif bagi kamera
analog dan fail jpeg bagi kamera digital. Manakala imej asal video
adalah dalam bentuk pita video. Imej asal ini penting sekiranya
anda ingin mencetak atau menyunting kembali gambar perkahwinan anda
di kemudian hari. Ada jurugambar yang memberi imej asal secara
percuma dan ada yang akan mengenakan bayaran.

Sumber : Majalah Pesona Pengantin & Adan Impresif.

No comments:

Post a Comment